 |
|
 |
|
PosOnline
PRODUCTS & SERVICES
SUBSIDIARIES & ASSOCIATES
CORPORATE INSIGHTS
NEED HELP?
NEWSLETTER
VACANCIES
|
|
 |
|
 |
|
 |
|
 |
|
21 September 2007
POS MALAYSIA KELUARKAN SETEM MENGENAI JATA NEGERI DAN JATA NEGARA
Kuala Lumpur, Jumaat - Pos Malaysia akan mengeluarkan koleksi istimewa setem yang memaparkan Jata Negeri bagi negeri-negeri di Malaysia dan serta Jata Negara. Koleksi istimewa ini akan dikeluarkan pada 25 September 2007.
Jata Negeri telah lama diiktiraf dan digunakan sejak berkurun lamanya sebagai lambang bagi sesebuah negeri. Malah, di Malaysia, setiap negeri mempunyai jata yang berbeza sebagai yang melambangkan negeri masing-masing.
Jata Negeri bagi setiap negeri-negeri di Malaysia adalah berbeza dan setiap daripadanya mempunyai keunikan dan maksud yang tersendiri seperti yang digambarkan dalam jata negeri Melaka dan Penang di mana, masing-masing menggunakan gambar pokok Melaka dan Pinang pada jata negeri mereka. Selain itu juga, Jata Negeri Sarawak memaparkan gambar Burung Kenyalang dan gambar padi pada Jata Negeri Kedah. Malah, ada sesetengah Jata Negeri turut mempunyai moto khusus dan juga penggunaan kombinasi warna dan ikon simbolik bagi negeri masing-masing
Jata Negara yang pertama adalah Jata Negeri bagi Negeri-negeri Bersekutu Tanah Melayu yang digunakan semasa pemerintahan British di Tanah Melayu pada awal tahun 1895. Jata Negeri tersebut telah banyak melalui perubahan terutamanya selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan sehinggalah dikenali sebagai Jata Negara. Jata Negara Malaysia kini menggabungkan kesemua ciri-ciri yang dapat dilihat pada Jata Negeri bagi semua negeri di Malaysia.
Kini, Lambang Negara yang juga dikenali sebagai Jata Negara adalah antara warisan dan identiti negara Malaysia dan berfungsi sebagai satu lambang yang mampu memupuk kesedaran sivik dan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.
“Malaysia baru sahaja menyambut ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke-50 dan semangat kebanggaan dan patriotik masih dapat dirasai hingga sekarang dan dengan mengeluarkan koleksi setem yang memaparkan Jata Negeri bagi negeri-negeri di Malaysia dan juga Jata Negara, Pos Malaysia berharap agar orang ramai dapat mempelajari dan mengenali tentang maksud yang disampaikan dalam Jata Negeri yang berbeza bagi semua negeri di Malaysia,” kata Dato’ Idrose Mohamed , Pengarah Urusan Pos Malaysia Berhad.
Setem-setem tersebut, berukuran 25mm x 30mm, dicetak sebanyak 28 setem sehelai di atas kertas tera air SPM bersalut fosfor dan boleh didapati dalam dua baris x 7 ekabentuk, setiap satunya mempunyai denominasi 50sen dan setiap setem mempunyai penerangan seperti yang terdapat di bawah:
- Kedah
Jambangan yang terdiri daripada lingkaran biji padi, melambangkan aktiviti pertanian yang merupakan komoditi utama negeri ini. Latarbelakang berwarna merah adalah warna tradisional negeri yang membawa maksud kemakmuran. Simbol bulan sabit melambangkan Islam manakala imej perisai di sebelahnya melambangkan peranan Sultan sebagai pembimbing dan pelindung rakyat jelata.
- Negeri Sembilan
Sembilan tangkai padi di dalam perisai dan Bintang Pecah Sembilan (berlatarbelakang warna kuning ) melambangkan sembilan buah negeri dalam Gabungan Negeri Sembilan yang lama.. Warna merah dalam perisai menunjukkan hubungan pada masa lalu dengan kerajaan British. Warna hitam melambangkan Datuk-Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, manakala warna kuning melambangkan Yang di-Pertuan Besar. Pedang dan sarungnya di atas perisai menandakan keadilan. Sementara di tengah-tengah antara pedang dan sarung tersebut ialah "Changgai Puteri" yang merupakan tanda kedaulatan Yang di-Pertuan Besar.
- Pahang
Mata cogan yang berbentuk daun kopi itu keseluruhannya berwarna emas termasuk penongkok dan taran. Warna emas itu melambangkan logam emas yang merupakan hasil utama di negeri Pahang pada tahun 1862. Kepercayaan dahulu juga menyatakan bahawa tiada alat yang boleh menahan senjata atau mata senjata yang diperbuat daripada emas. Gading yang bersilang di bawah daun kopi melambangkan bahawa suatu ketika dahulu gading gajah terdapat dengan banyaknya serata negeri Pahang sehingga ia menjadi satu perdagangan yang besar. Kalimah "Ya La Tif" bermaksud yang lemah-lembut Merupakan simbolik kepada pemerintahan yang tidak menggunakan kekerasan.
- Perak
Gencana ini yang dipakai oleh Sultan Perak Darul Ridzuan pada tengkolok melambangkan kedaulatan DiRaja. Bulan sabit melambangkan Islam sebagai agama rasmi dan bunga padi menggambarkan sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri.
- Kelantan
Mahkota merupakan lambang bagi kedaulatan Sultan manakala dua tombak dan dua keris melambangkan kekuatan orang-orang Melayu Kelantan. Simbol bulan sabit dan bintang adalah melambangkan agama Islam. Dua laras meriam pula melambangkan negeri ini sentiasa bersedia untuk mempertahankan dirinya. Dua ekor kijang mengingatkan kembali kepada sejarah lama negeri ini pada zaman Che Siti Wan Kembang, iaitu Permaisuri Kelantan (kira-kira akhir kurun ke-14), di mana baginda yang terlalu kasih kepada kijang kesayangannya, telah memerintahkan agar wang emas ditempa dengan gambar binatang itu. Cogan jata ini ialah "Berserah Kepada Tuhan, Kerajaan Kelantan".
- Johor
Mahkota merupakan tanda kesultanan Johor. Empat Bintang di sudut Perisai Putih merupakan lambang kepada Empat Buah Jajahan besar asal Johor – Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Endau, sementara Bintang dan Anak Bulan di tengah pula melambangkan agama Islam. Dua ekor harimau yang menupang perisai, mengingatkan kepada binatang-binatang buas yang pada suatu masa dulu merayau-rayau di negeri ini. Corak bunga-bungaan di sebelah bawah perisai melambangkan gambir dan lada hitam iaitu dua jenis hasil utama Johor. Cogan jata ini adalah "Kepada Allah Berserah".
- Perlis
Lingkaran padi pada jata negeri Perlis melambangkan pekerjaan dan hasil utama negeri itu. Perisai melambangkan kebanggaan negeri kerana kekayaan hasil padinya dan simbol kehormatan negeri.
- Selangor
Simbol bulan sabit dan bintang melambangkan Islam, yang merupakan agama rasmi Negeri Selangor. Tombak merah di tengah dikenali sebagai Sambu, manakala di sebelah kanannya ialah Keris Pendek dan di sebelah kirinya Keris Panjang. Ketiga-tiganya adalah Alat Kebesaran Negeri. Tulisan Jawi "Di Pelihara Allah" ialah cogan negeri. Di bawah cogan negeri pula ialah tali bengkung yang dipakai sebagai ikat pinggang oleh pahlawan-pahlawan zaman dahulu.
- Terengganu
Bulan sabit dan bintang melambangkan Terengganu sebagai sebuah negeri Islam. Mahkota menggambarkan kedaulatan DiRaja dan pedang, keris panjang dan cokmar pula merupakan Alat Kebesaran DiRaja Negeri. Manakala di sebelah kanannya adalah al-Quran yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negeri. Buku Undang-Undang di sebelah kiri pula menandakan keadilan dan Wali atau Selampai melambangkan Alat Istiadat Kebesaran Negeri.
- Sarawak
Bunga kebangsaan,Malaysia iaitu Bunga Raya diletakkan di sebelah kiri dan di sebelah kanan, burung Kenyalang. Panji pula terletak di bawah kaki burung Kenyalang yang menjunjung moto baru negeri iaitu " Bersatu, Berusaha, Berbakti". Terletak di dada Burung itu adalah sebuah perisai yang memaparkan warna negeri, iaitu hitam, merah dan kuning.
- Pulau Pinang
Pohon Pinang merupakan tanda asal nama pulau ini. Petak berwarna kuning mengandungi gambar Jambatan Pulau Pinang yang bukan sahaja menghubungkan pulau itu dengan Semenanjung Malayisa, tetapi juga melambangkan perpaduan negeri dan persekutuan. Dua tiang jambatan ini melambangkan Serampang Dua Mata di dalam Dasar Ekonomi Baru iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Empat kabel pula melambangkan empat jenis keturunan rakyat di negeri ini, iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain. Lima jalur ombak biru dan putih menjadi simbol dan melambangkan lima prinsip Rukun Negara dan lima daerah pentadbiran yang terdapat di Pulau Pinang.
- Sabah
Sepasang tangan yang menjulang megah bendera negeri Sabah menghiasi lencana yang melambangkan perpaduan erat dan kerjasama yang lama terjalin di kalangan rakyat pelbagai kaum demi mencapai kemajuan dan kejayaan bagi negeri Sabah. Lima warna sebaris menggambarkan lima 'bahagian' yang terkandung dalam negeri Sabah. Warna biru zirkon melambangkan kesejahteraan dan keamanan, putih melambangkan kesucian dan keadilan, merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan, warna biru salji melambangkan perpaduan dan kemakmuran sementara warna nilakandi melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama rakyat. Bentuk Gunung Kinabalu pula merupakan lambang Kerajaan Negeri Sabah. Cogan kata 'Sabah Maju Jaya' juga dipaparkan di skrol berwarna merah.
- Melaka
Pelbagai warna (putih, kuning dan biru) pada lambang negeri ini merupakan warna-warna Negeri-Negeri Persekutuan Malaysia dan ia menunjukkan bahawa Melaka adalah sebahagian dari negeri Persekutuan. Lima keris melambangkan lima orang pahlawan Melaka pada zaman silam yang terkenal dengan keberanian mereka iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi. Bulan sabit dan bintang pecah lima di tengah-tengah bahagian atas melambangkan simbol kepada agama rasmi negeri iaitu agama Islam.
Pokok Melaka, iaitu pohon dari mana nama negeri ini mendapat namanya juga terdapat di tengah-tengah jata negeri ini. Dua ekor pelanduk yang memegang perisai ialah untuk memperingati riwayat dahulu kala bagaimana Raja Melaka yang pertama mengambil keputusan untuk menubuhkan kerajaan di situ dan menamakannya kerajaan tersebut Melaka. Moto negeri Melaka ”Bersatu Teguh” juga dipaparkan di skrol biru.
- Jata Negara Malaysia
Lambang Malaysia, atau Jata Negara mengandungi sebuah perisai yang dipegang oleh dua ekor harimau yang merupakan lambing kepada melayu tradisional serta kekuatan dan keberanian. Di atasnya memaparkan simbol bulan sabit dan bintang pecah 14. Warna kuning pada simbol bulan sabit dan bintang itu merupakan warna diraja dan melambangkan pemerintahan beraja di Malaysia. Simbol bulan sabit adalah lambang agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia manakala simbol bintang menandakan 13 buah negeri yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia dan Kerajaan Persekutuan.
Lima bilah keris yang terletak di bahagian atas merupakan lambang Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu pada zaman dahulu iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Di bawah keris tersebut terdapat empat jalur yang sama besarnya berwarna warna hitam, putih, merah dan kuning yang melambangkan empat buah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang asal. Merah dan kuning melambangkan warna negeri Selangor; hitam dan putih warna bagi negeri Pahang; hitam, putih dan kuning warna bagi negeri Perak; serta warna merah, hitam dan kuning bagi Negeri Sembilan.
Bahagian sebelah kiri perisai iaitu pokok Pinang dan jambatan merupakan simbol untuk negeri Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan iaitu pokok Melaka adalah simbol untuk negeri Melaka. Kedua-dua buah negeri ini adalah sebahagian dari Negeri-negeri Selat pada zaman dahulu.
Tiga bahagian di sebelah bawah itu menandakan Jata Negeri Sabah di sebelah kiri dan Jata Negeri Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah Bunga Raya, iaitu Bunga Kebangsaan Malaysia. Harimau-harimau yang ditunjukkan sebagai memegang jata Negeri-negeri Melayu Bersekutu dahulu itu digunakan dalam Jata Negara. Cogan kata "Bersekutu Bertambah Mutu" yang ditulis dengan tulisan Rumi di sebelah kiri dan Jawi di sebelah kanan juga dipaparkan di skrol yang berwarna kuning.
Sampul Surat Hari Pertama dijual pada harga 30 sen setiap satu dan boleh didapati di semua pejabat pos. Folder berharga RM 5.00 hanya terdapat di pejabat-pejabat pos yang terpilih sahaja.
Pengumpul setem digalakkan untuk mendaftar sebagai ahli SODA (Standing Order Deposit Account) untuk mendapatkan setem-setem dan produk filateli lain yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia tanpa perlu beratur di pejabat pos semasa hari keluaran. Selain itu, pelanggan juga kini dapat menikmati lebih kemudahan online menerusi Philately Online di www.posonline.com.my untuk membuka akaun SODA, menambah nilai serta memeriksa baki akaun SODA, serta mengemaskinikan butir-butir peribadi mereka.
Untuk keterangan lanjut sila layari laman web www.pos.com.my atau kunjungi pejabat pos terdekat atau Bahagian Setem dan Filateli di Tingkat 1, Bangunan Pelabat Pos Besar, Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur. Hubungi 03-2274 1122 ext. 6830 atau e-mel filateli@pos.com.my untuk mendapatkan keterangan selanjutnya.
Mengenai Pos Malaysia Berhad
Pos Malaysia Berhad (PMB) adalah syarikat pos negara dimiliki sepenuhnya oleh Pos Malaysia & Services Holdings Berhad (PSH). Dengan visinya untuk menjadi rakan niaga serantau di dalam bidang mel, kurier, logistic dan perkhidmatan kewangan yang berkaitan, PMB mempunyai rangkaian pejabat pos yang meluas, iaitu sebanyak 669 buah pejabat di seluruh negara di samping rangkaian pejabat pos mini, pejabat pos bergerak, wakil pos dan wakil setem.
Menerusi PosMel, PMB memberikan pelbagai perkhidmatan mel untuk memenuhi kehendak dan keperluan rakyat Malaysia yang meliputi penghantaran Surat Standard dan Surat Bukan Standard, bungkusan serta pelbagai perkhidmatan mel di dalam dan luar negara.
Selain itu, PMB juga menyediakan pelbagai perkhidmatan kaunter; dari seringkas pembelian setem dan penerimaan bungkusan untuk penghantaran kepada pembayaran bil, cukai jalan, pembaharuan lesen, pembayaran premium insuran hinggalah kepada pemindahan wang antarabangsa dan banyak lagi.
PMB, melalui unit perniagaan strategiknya, PosLaju menawarkan perkhidmatan kurier bagi memenuhi keperluan masyarakat perniagaan tempatan serta masyarakat umum. PosLaju kini mempunyai rangkaian 39 buah Pusat PosLaju di seluruh negara.
PosOnline (www.pos.com.my), portal urusniaga dalam talian (online) PMB, menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan termasuklah pembayaran bil, zakat dan bayaran ansuran sewa beli melalui internet. Semua pelanggan yang mempunyai kemudahan internet boleh menggunakan perkhidmatan PosOnline pada bila-bila masa dan pembayaran boleh dibuat di mana-mana saja.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman web kami di www.pos.com.my, mengunjugi pejabat pos yang terdekat atau hubungi talian khidmat pelanggan Pos Malaysia menerusi PosLine di 1-300-300-300.
|
|
 |
|
 |
|
|